Friday 3 January 2014

Perjuangan Chetti belum selesai

Media pada 1 Januari 2014 melaporkan bahawa Ketua Menteri Melaka akan masuk campur untuk menyelesaikan isu projek pembinaan dua buah kondominium 22 tingkat, sebuah hotel 12 tingkat dan tempat letak kereta 6 tingkat di “Lot 93” di tengah Kampung Chetti, Melaka – BACA DI SINI.
 
Berita itu memang amat melegakan tetapi tidak bermakna bahawa masalah kaum minoriti Chetti di perkampungan warisan itu sudah selesai.
 
Jaminan yang disuarakan oleh wakil ketua menteri kepada pihak media belum disahkan. Tambahan pula, projek ini pernah dihentikan oleh bekas ketua menteri menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tetapi diluluskan semula oleh ketua menteri baru selepas Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri berikutan PRU-13 – RUJUK DI SINI.
 
Saya berpeluang menyertai “Solidariti Kampung Chetti” anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 29 Disember 2013. Selaku AJK Khas Kavyan dan peminat seni fotografi, saya sempat membimbing sekumpulan belia Chetti tentang teknik merakamkan foto di sekitar perkampungan warisan itu.
 
Foto-foto berkenaan bertujuan untuk dimuatkan di Facebook dan Twitter supaya keadaan semasa dan kisah sebenar yang berlaku di Kampung Chetti berikutan pembinaan di “Lot 93” diketahui dunia luar.
 
Harapan Kavyan adalah untuk memberikan peluang kepada penduduk Chetti “bersuara” menerusi foto, tulisan dan video. Ia merupakan saluran bagi “protes halus” mereka terhadap pembangunan yang secara terang-terangan dikatakan bakal menghapuskan dan memusnahkan Kampung Chetti dalam masa terdekat.
 
Sebagai seorang pencinta seni dan budaya pelbagai kaum/etnik, besarlah harapan saya bahawa kedudukan Kampung Chetti sebagai perkampungan warisan yang diiktiraf Unesco dihormati, dikekalkan dan dipulihara oleh Kerajaan Negeri Melaka khasnya dan Kerajaan Persekutuan amnya.
 
Jangan sampai kerakusan dan permainan politik serta manipulasi kuasa secara licik oleh pihak tertentu mengorbankan Kampung Chetti dan kaum Chetti yang amat unik itu.
 
Biarlah kita belajar daripada sejarah hitam Lembah Bujang pada tahun lalu bagi memastikan kita tidak membiarkan tragedi sama berulang. Tambahan pula, Kampung Chetti masih “hidup” dengan erti kata masih ada penduduk yang tinggal di kampung itu.
 
Sementara kita mengharapkan Ketua Menteri Melaka berpegang pada janji – “Janji Ditepati” – saya menyarankan agar orang ramai turut sama-sama terus-menerus memberikan perhatian, sikap peduli dan tekanan kepada pihak terbabit bagi memastikan Kampung Chetti tidak menjadi mangsa keadaan.
 
[Shahrul Nizam Abd Hamid adalah peminat seni fotografi, pegawai sumber manusia di sebuah syarikat multinasional dan AJK Khas Kavyan. Surat ini disiarkan di Free Malaysia Today pada 3 Januari 2014.]