Sejak turun-temurun, pesta menuai atau Ponggol disambut secara besar-besaran
dan penuh meriah oleh penduduk minoriti Chetti di Kampung Chetti,
Jalan Gajah Berang, Melaka.
Bagaimanapun, berikutan isu projek
pembinaan bangunan pencakar langit di atas tanah “Lot 93” baru-baru ini, kami
para penduduk perkampungan warisan berkenaan sudah mula tertanya-tanya apakah
kami akan mampu meneruskan tradisi ini atau kampung kami akan pupus tidak lama
lagi.
Pada 29 Disember 2013, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
datang untuk mengendalikan bengkel sehari penulisan makalah, komunikasi media,
fotografi dan videografi khusus bagi penduduk Kampung Chetti.
Program “Solidariti Kampung Chetti” bukanlah
acara demonstrasi dan tunjuk perasaan penuh emosional. Sebaliknya wakil Kavyan
berkongsi ilmu dan pengetahuan tentang cara-cara kaum Chetti boleh
memperjuangkan hak serta membuka mata orang ramai, media dan kerajaan secara
profesional dan tersusun.
Kami yang selama ini bergantung kepada cara-cara
konvensional telah mendapatkan pelbagai maklumat berguna mengenai teknik
non-konvensional dan alternatif seperti diberikan tunjuk-ajar oleh wakil
kumpulan penulis itu.
Kami mengadakan sidang media dan sesi
taklimat khas pada tarikh yang sama berbekalkan segala ilmu dan panduan yang
dipelajari. Kehadiran orang ramai, warga prihatin dan wakil media amat
membanggakan.

Perkembangan positif ini mengembalikan
semangat dan harapan kami sebagai penduduk Kampung Chetti. Kami merakamkan
terima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantu kami, sama ada secara
langsung atau tidak langsung dalam perjuangan ini.
Sambutan Ponggol – atau biasanya disebut “Ponggal” oleh kaum India – di Kampung Chetti pada
kali ini disambut secara sederhana tetapi penuh makna sebagai tanda kaum Chetti bersyukur.
Saya selaku Yang Dipertua Persatuan
Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka serta pengerusi Kuil Sri Poyatha
Venayagar Moorthi (SPVM) menjemput, mengundang dan mempersilakan orang ramai
sama-sama hadir menyerikan sambutan kecil-kecilan ini.
Pada 5 Januari 2014, kerja-kerja
pembersihan tanah perkuburan nenek-moyang kami dan upacara sembahyang khas akan
berlangsung di tanah perkuburan Jelutong.

Acara Mathu
Ponggol bagi meraikan lembu pula akan berlangsung pada 15 Januari, manakala
Kanni Ponggol melibatkan upacara
memasak nasi manis secara beramai-ramai oleh anak-anak gadis dijadualkan pada
16 Januari.
Kami mengalu-alukan kedatangan orang ramai
yang bukan sahaja hadir untuk menyerikan sambutan Ponggol, tetapi datang untuk memberikan sokongan moral terhadap
perjuangan kami mempertahankan kampung warisan ini.
Orang ramai boleh melayari www.facebook.com/ChettiMelaka
atau www.kampungchetti.blogspot.com
untuk maklumat lanjut mengenai sambutan Ponggol
dan pelbagai topik berkaitan Kampung Chetti.
[K Supramania Pillay adalah Yang Dipertua Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti
Melaka serta pengerusi Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi yang bertanggungjawab
terhadap hal-ehwal kaum Chetti Melaka. Kenyataan media ini dikeluarkan pada 2
Januari 2014 dengan kerjasama Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya serta disiarkan di Free Malaysia Today pada 2 Januari 2014 dan di akhbar Tamil Malar pada 4 Januari 2014..]