Sunday 15 January 2017

Pesta Ponggol di Kampung Chetti

Program
Pesta Ponggol di Kampung Chetti

Pengenalan
Masyarakat pelbagai kaum, agama dan etnik di Malaysia mempunyai bahasa, budaya dan jati diri masing-masing yang dibanggakan. Pada masa sama, dalam konteks masyarakat majmuk ini, langkah-langkah yang wajar perlu diambil untuk memupuk persefahaman, saling mengenali dan saling menghormati kepelbagaian budaya. Selaras peruntukan Perlembagaan Malaysia, bahasa kebangsaan merupakan medium terbaik untuk menyatukan masyarakat pelbagai kaum dan budaya. Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sentiasa berusaha mendekati masyarakat pelbagai kaum untuk memupuk dan menggalakkan masyarakat pelbagai kaum berkomunikasi menggunakan bahasa kebangsaan. Pendekatan terbaik adalah menerusi aktiviti berciri didik hibur.


Rasional
Masyarakat Chetti di Kampung Chetti, Jalan Gajah Berang, Melaka merupakan suatu kelompok komuniti yang amat unik. Bahasa, budaya, amalan, kepercayaan, dan cara hidup kumpulan minoriti ini wajar ditonjolkan kepada umum. Suatu aspek yang menarik adalah bahawa masyarakat Chetti yang kelihatan seperti orang Tamil/India/Hindu secara fizikal, sebenarnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Maka, kelompok ini amat sesuai ditonjolkan sebagai contoh dan bukti bagaimana budaya dan tradisi masih dapat dikekalkan walaupun menggunakan bahasa selain daripada bahasa ibunda. Walaupun pesta ponggal (pesta menuai) lazimnya disambut komuniti Tamil, sambutan ponggol (ejaan yang berbeza) oleh komuniti Chetti Melaka sedikit berbeza dan ada keunikan tersendiri.

Objektif
1. Memupuk penggunaan Bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat India
2. Menggalakkan komunikasi Bahasa Malaysia untuk berkongsi pengalaman budaya kaum India
3. Penerapan unsur didik hibur dalam usaha memartabatkan Bahasa Malaysia
4. Menjalinkan persahabatan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum
5. Menonjolkan keunikan budaya masyarakat Chetti Melaka

Tarikh
4 Februari 2017 (Sabtu)

Masa
2:00 petang – 10:00 malam

Tempat
Kampung Chetti, Jalan Gajah Berang, Melaka

Penyelaras
Kumpulan Pemimpin Muda Kaum Chetti
(Kumpulan remaja dan belia ini merupakan peserta Projek Komuniti Kavyan kendalian Kavyan di Kampung Chetti mulai Disember 2016. Mereka menyertai Program Memperkasakan Belia Kampung Chetti pada 11 Disember 2016 di mana tercetus idea menganjurkan Pesta Ponggol di Kampung Chetti. Jawatankuasa kecil ditubuhkan bagi membahagikan tugasan. Kumpulan Pemimpin Muda Kaum Chetti juga berkomunikasi dan berbincang setiap hari menerusi WhatsApp bagi menjayakan Pesta Ponggol.)

Dengan Sokongan
Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi (SPVMT)


Atur Cara
Berikut rangka atur cara yang disusun dengan mengambil kira rasional dan objektif yang ingin dicapai.

9:00 pagi
Membuat persiapan terakhir di pentas dan kawasan aktiviti
Sesi latihan persembahan tarian/muzik tradisional
Persiapan memasak makanan tradisional untuk jualan di gerai

1:30 petang
Ketibaan tetamu, wakil media dan orang ramai
Gerai jualan makanan mula beroperasi

2:00 petang
Ucapan alu-aluan oleh pengacara majlis
Ucapan sambutan oleh pengerusi Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi (SPVMT)
Persembahan budaya (tarian/muzik)
Penyampaian cenderamata kepada tetamu
Penyampaian sijil penghargaan kepada Kumpulan Pemimpin Muda Kaum Chetti (peserta Projek Komuniti Kavyan di Kampung Chetti)

3:00 petang
Demonstrasi masakan ponggol
Lawatan tetamu ke Muzium Chetti Melaka
Lawatan tetamu ke rumah unik Chetti Melaka

4:00 petang
Pertandingan permainan tradisional
Gasing, ting ting, congkak, hantu galah, batu seremban

6:00 petang
Persiapan bagi Malam Kebudayaan Pesta Ponggol
Ketibaan tetamu dan penonton

7:00 malam
Malam Kebudayaan Pesta Ponggol
Ucapan pengacara majlis (dua orang)
Persembahan tarian (individu dan berkumpulan)
Pertandingan Ratu Kebaya (kanak-kanak dan dewasa)
Persembahan muzik tradisional
Memperagakan pakaian tradisional komuniti Chetti
Persembahan dondang sayang
Penyampaian hadiah kepada gerai terbaik
Penyampaian hadiah dan sijil kepada pemenang pertandingan (gasing, ting ting, congkak, hantu galah, batu seremban)
Penyampaian cenderamata dan sijil kepada penari/penyanyi/pemuzik
Penyampaian cenderamata dan sijil kepada model pakaian tradisional
Penyampaian hadiah dan sijil kepada Ratu Kebaya (kanak-kanak dan dewasa)
Joget lambak (beramai-ramai)

10:00 malam
Bersurai


Maklumat Lanjut
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my sebelum 31 Januari 2017. Sila rujuk juga nombor telefon yang dipaparkan pada poster Pesta Ponggol.

Penutup
Program ini boleh dilaksanakan dengan penuh jaya serta mencapai objektif sekiranya mendapat kerjasama semua pihak terbabit. Program ini juga akan memperkenalkan keunikan budaya komuniti Chetti Melaka kepada orang awam, serta menjadi contoh baik kepada usaha menggalakkan pemupukan dan penggunaan Bahasa Malaysia sebagai medium komunikasi dalam kalangan masyarakat majmuk. Program ini juga secara langsung memberi peluang kepada Kumpulan Pemimpin Muda Kaum Chetti untuk mengasah kemampuan merancang dan mengendalikan aktiviti seni dan budaya.

Thursday 17 November 2016

Projek Komuniti Kampung Chetti


Kavyan berusaha menggalakkan serta membimbing generasi muda Chetti Melaka supaya tampil memelihara, memulihara dan mempromosikan keunikan budaya masyarakat Chetti Melaka menerusi aktiviti penulisan, seni dan budaya. Kavyan yang berpengalaman mengendalikan bengkel penulisan di seluruh negara sejak 1999 bercadang mengadakan pertemuan, berbincangan dan merancang cara-cara mempromosikan kaum Chetti Melaka dan Kampung Chetti kepada khalayak umum menerusi penulisan. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut.

Tuesday 25 November 2014

Saksikan Kemusnahan Kampung Chetti

Pada kali terakhir wakil Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) melawat Kampung Chetti di Gajah Berang, Melaka semasa sambutan ponggal (pesta menuai), penduduk di perkampungan warisan itu meluahkan kesedihan kerana pihak berkuasa seolah-olah sudah meminggirkan mereka. [BACA DI SINI]

Perkara sama juga disaksikan pada 16 November 2014 sewaktu saya bersama-sama Kughan Nadarajah dan Preevinn Singh membuat tinjauan di kampung berkenaan yang dihuni sekumpulan masyarakat yang amat unik.

“Projek pembinaan di Lot 93 memang mereka terus jalankan. Kami, para penduduk di Kampung Chetti, memang tak puas hati. Kami masih membantah dan meminta Kerajaan Negeri Melaka, kalau boleh, batalkan terus projek ini,” kata K. Supramania Pillay selaku Yang Dipertua Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kuam Chetti Melaka.

Beliau meluahkan rasa kecewa itu semasa kami sama-sama berjalan sekeliling perkampungan warisan itu serta meninjau kerja-kerja pembinaan bangunan pangsapuri 22 tingkat dan hotel 12 tingkat di tanah Lot 93.

Kaum Chetti hanya sebuah kumpulan minoriti yang kurang berada. Sekitar 300 orang daripada 30 keluarga tinggal di sekitar 20 buah rumah di perkampungan warisan ini.

Apa yang menarik, Lot 93 terletak di tengah-tengah dan berkongsi tiga sempadan dengan Kampung Chetti yang diisytiharkan sebagai tapak warisan oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Kali pertama kami mendapat tahu mengenai nasib malang yang melanda Kampung Chetti adalah apabila wakil Kavyan dan Projek Dialog membuat kunjungan muhibah ke Kampung Portugis (14 Disember 2013) dan Kampung Chetti (15 Disember 2013).

Hasil maklumat yang diterima selepas berkomunikasi dengan pihak Unesco, ternyata tidak boleh ada sebarang projek pembangunan dibuat pada jarak sekitar 100 meter daripada kawasan yang digazetkan sebagai tapak warisan.

Syarat dan peraturan Unesco juga menetapkan bahawa sebarang bangunan baru yang dibina berhampiran tapak warisan tidak boleh melebihi 4 tingkat. Hal-hal ini mungkin tidak disedari penduduk Kampung Chetti sendiri.

Sebagai tanda solidariti serta usaha membantu memperkasa penduduk tempatan memperjuangkan hak golongan minoriti, Kavyan mengadakan beberapa kunjungan, menganjurkan bengkel khas serta mengaturkan sidang media dan taklimat khas di Kampung Chetti. [BACA DI SINI]

Malangnya, sehingga makalah ini ditulis, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; serta MIC Kebangsaan dan MIC Melaka berpura-pura bagaikan tidak ada sebarang masalah.

Pelbagai janji Idris dan pengerusi MIC Melaka, MS Mahadevan ada dihuraikan dalam makalah bertajuk “Sandiwara politik di Kampung Chetti” (Projek Dialog, 17 Januari 2014) yang ditulis selepas kunjungan terakhir sebelum ini. Janji Idris kononnya mahu mencari dalang yang meluluskan projek itu (The Star, 1 Januari 2014) ternyata hanya wayang di tabir.

[Makalah ini ditulis pada 20 November 2014 dan disiarkan di Projek Dialog pada 21 November 2014. BACA MAKALAH PENUH DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

Monday 24 November 2014

Kehilangan di Kampung Chetti

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Pepatah Melayu ini bersifat universal dan malar kerana masih boleh digunakan pada zaman sekarang.

Dalam konteks masyarakat Chetti di Kampung Chetti, Gajah Berang, Melaka, nampaknya bekas pemegang amanah Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi, G. Tegarajah pergi dalam keadaan sedih melihat kampung asalnya itu musnah sedikit demi sedikit di depan mata.

Pada 29 Disember 2013, semasa sesi ceramah dan bengkel penulisan anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) di dewan serba guna kampung berkenaan, saya menyeru golongan belia dan remaja mewawancara warga emas berumur 88 tahun itu untuk menulis makalah.

Saya menyebut betapa khazanah ilmu, pengetahuan dan pengalaman beliau sebagai generasi tertua kaum Chetti yang masih hidup wajar didokumentasikan untuk rujukan generasi akan datang.

Pada sesi taklimat dan bengkel itu, Tegarajah tetap hadir berpakaian tradisional Chetti walaupun kelihatan uzur dan terpaksa berkerusi roda. Saya sempat membuat rakaman wawancara pendek untuk dimuatkan di Facebook.

Begitu juga semasa sambutan ponggal di Kuil Sivan pada 14 Januari 2014. Selain daripada kesedihan akibat pemergian Kannama pada 2 Januari 2014, Tegarajah ternyata sedih mengenangkan masa depan Kampung Chetti yang diwartakan sebagai perkampungan warisan pada tahun 2002 tetapi kini sedang berdepan kemusnahan.

Apabila tidak ada mana-mana penduduk Kampung Chetti yang menunjukkan minat untuk mewawancara dan menulis makalah mengenai warga emas itu, saya dan rakan-rakan dari Kavyan bercadang untuk pergi ke kampung itu pada 19 April 2014 untuk mewawancara Tegarajah dan beberapa warga emas lain mengenai budaya kaum Chetti.

Malangnya, memandangkan penduduk Kampung Chetti sibuk dengan pelbagai acara dan upacara, rancangan itu terpaksa ditangguhkan dan akhirnya dibatalkan.

Apabila saya bersama-sama Kughan Nadarajah dan Preevinn Singh pergi ke kampung warisan budaya itu pada 16 November 2014, kami tidak berpeluang bertemu dan mewawancara Tegarajah.

Yang Dipertua Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti, K. Supramania Pillay memaklumkan bahawa warga emas itu tidak sihat dan kami memutuskan untuk tidak mengganggu.

[Makalah ini ditulis pada 23 November 2014 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 25 November 2014. BACA MAKALAH PENUH DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

Tuesday 18 November 2014

Selamatkan Ashram, Hapuskan Chetti

Antara topik paling hangat dalam kalangan masyarakat India masa sekarang adalah perjuangan mempertahankan Vivekananda Ashram di Brickfields, Kuala Lumpur.

Perkembangan isu ini menjadi lebih menarik dan hangat apabila Pemuda MIC turun padang serta menyeru orang ramai turut serta. (Pada waktu itulah juga saya berhenti berkempen kerana tidak mahu “mengganggu” kerja mereka.)

Hal ini segera mengingatkan kita kepada “usaha” Pemuda MIC turun ke Lembah Bujang, Kedah selepas suatu candi dimusnahkan pemaju pada tahun lalu.

Ketua Pemuda MIC Kebangsaan menyerahkan memorandum bertajuk “Isu Perobohan Chandi di Lembah Bujang yang Menjadi Tapak Sejarah Dunia dan Kebangsaan Malaysia” kepada setiausaha sulit kanan Menteri Besar Kedah pada 3 Disember 2013.

Usahlah ditanya apa lagi yang sudah dilakukan selepas sekumpulan pemuda terbabit bergambar beramai-ramai sambil memegang serpihan batu candi dan memuatkan foto di laman Facebook1 Million Likes To Save Bujang Valley”.

Semakan pada 18 November 2014 menunjukkan laman berkenaan disukai (“like”) 22,955 orang sahaja serta sekadar diisi pelbagai iklan dan promosi Malaysian Urban Retreat Festival (Murfast) yang tiada kaitan dengan isu Lembah Bujang.

Pemuda MIC Kebangsaan yang “turun” ke Kedah dalam isu Lembah Bujang memilih untuk tidak melakukan perkara sama dalam kes Kampung Chetti yang terancam akibat projek pembinaan bangunan pencakar langit di Lot 93. Tugas diserahkan kepada Pemuda MIC Melaka.

Semasa kunjungan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) ke perkampungan warisan itu pada 15 Disember 2013, kami dimaklumkan bahawa presiden dan timbalan presiden MIC sudah ditemui wakil penduduk tetapi tiada sebarang reaksi positif.

Dalam pada itu, apa yang mampu Pemuda MIC Melaka lakukan hanyalah salin dan tampal (copy and paste) kenyataan media Kavyan bertarikh 16 Disember 2013 dan menyerahkannya sebagai memorandum kepada Ketua Menteri Melaka pada 20 Disember 2014.


[Makalah ini ditulis pada 18 November 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 19 November 2014. BACA MAKALAH PENUH DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

Tuesday 4 February 2014

VIDEO: Warisan yang Dilupakan

Diterbitkan oleh Perzeus James (Zeus) untuk Kaigal.com dengan kerjasama Kavyan. Rakaman video ini dibuat semasa Solidariti Kampung Chetti pada 29 Disember 2014.