Harimau mati meninggalkan belang, manusia
mati meninggalkan nama. Pepatah Melayu ini bersifat universal dan malar kerana
masih boleh digunakan pada zaman sekarang.
Dalam konteks masyarakat Chetti di Kampung
Chetti, Gajah Berang, Melaka, nampaknya bekas pemegang amanah Kuil Sri Poyatha
Venayagar Moorthi, G. Tegarajah
pergi dalam keadaan sedih melihat kampung asalnya itu musnah sedikit demi
sedikit di depan mata.
Pada 29 Disember 2013, semasa sesi ceramah dan bengkel penulisan
anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) di
dewan serba guna kampung berkenaan, saya menyeru golongan belia dan remaja
mewawancara warga emas berumur 88 tahun itu untuk menulis makalah.
Saya menyebut betapa khazanah ilmu,
pengetahuan dan pengalaman beliau sebagai generasi tertua kaum Chetti yang
masih hidup wajar didokumentasikan untuk rujukan generasi
akan datang.
Pada sesi taklimat dan bengkel itu,
Tegarajah tetap hadir berpakaian tradisional Chetti walaupun kelihatan
uzur dan terpaksa berkerusi roda. Saya sempat membuat rakaman wawancara pendek untuk
dimuatkan di Facebook.
Begitu juga semasa sambutan ponggal di Kuil Sivan pada 14
Januari 2014. Selain daripada kesedihan akibat pemergian Kannama pada 2 Januari 2014, Tegarajah
ternyata sedih mengenangkan masa depan Kampung Chetti yang diwartakan sebagai
perkampungan warisan pada tahun 2002 tetapi kini sedang berdepan kemusnahan.
Apabila tidak ada mana-mana penduduk
Kampung Chetti yang menunjukkan minat untuk mewawancara dan menulis makalah
mengenai warga emas itu, saya dan rakan-rakan dari Kavyan bercadang untuk pergi
ke kampung itu pada 19 April 2014 untuk mewawancara Tegarajah dan beberapa
warga emas lain mengenai budaya kaum Chetti.
Malangnya, memandangkan penduduk Kampung
Chetti sibuk dengan pelbagai acara dan upacara, rancangan itu terpaksa
ditangguhkan dan akhirnya dibatalkan.
Apabila saya bersama-sama Kughan Nadarajah dan Preevinn Singh pergi ke kampung warisan
budaya itu pada 16 November 2014, kami tidak berpeluang bertemu dan mewawancara
Tegarajah.
Yang Dipertua Persatuan Kebajikan dan
Kebudayaan Kaum Chetti, K. Supramania Pillay memaklumkan bahawa
warga emas itu tidak sihat dan kami memutuskan untuk tidak mengganggu.
[Makalah ini ditulis pada 23 November 2014 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 25 November
2014. BACA MAKALAH PENUH DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan di blog kendalian
Uthaya Sankar SB atas pilihan
sendiri.]
No comments:
Post a Comment